ZAHID HAMIDI UMPAMA NAKHODA MABUK LAUT



Dalam sebuah pelayaran, perkara yang amat ditakuti oleh anak kapal adalah apabila Sang Nakhoda mula mabuk laut. Nakhoda akan termuntah-muntah, mukanya hijau dan mula melihat semua perkara sebagai ancaman. Ketika inilah biasanya anak kapal terpaksa membuat keputusan; untuk taat atau mula rencana mengubah Sang Nakhoda agar kapal tak karam dan daratan dapat sampai.


UMNO kelihatannya seperti keadaan di atas apabila Nakhoda utamanya umpama sudah mabuk dilambung pelbagai ujian dan cabaran. Cabaran mahkamah yang masih tergantung di atas kepala dan ketakutan tidak wajar dengan bayang-bayang sendiri. Paling menakutkan tentang seorang Nakhoda mabuk ialah dia tidak mampu lagi mengenal kawan atau ancaman. Semua disekeliling dirasakan sebagai elemen bahaya. Tidak hairan apabila banyak anak kapal dihukum terjun ke dalam laut dalam hanya kerana Nakhoda kapal sedang mabuk laut.


Ada beberapa perkara yang menyumbang kepada kemabukan Presiden UMNO ini. Pertama sekali ialah kerana dia sendiri sedar bahawa dia adalah Nakhoda yang telah lanjut masa. Demi pelayaran kapal yang lebih selamat, Nakhoda perlu ditukar tapi Nakhoda ini menggunakan tipu helah untuk kekal berkuasa. Anak-anak kapal juga tidak terinspirasi kerana dengan Nakhoda yang sama, Kapal UMNO ini tetaplah dalam laluan yang menyebabkan ia karam pada PRU14 yang lalu.


Kedua Nakhoda UMNO ini juga mabuk dengan bayang-bayang sendiri kerana ada anak kapalnya yang lebih cekap. Walaupun Nakhoda berkuasa di dalam kapal, ada pula anak kapalnya yang lebih hebat dan cekap sehingga mampu mengawal lautan gelora ekonomi dan politik. Sudah tentu dengan kemahiran dan sokongan orang-orang kampung, anak kapal ini lebih digemari untuk menjadi Nakhoda baru dan wujudlah sokongan. Ditambah pula dengan masa Nakhoda yang terlalu lanjut, maka ramailah anak kapal lain yang menegur dengan sopan dan santun, di luar dan di dalam. Namun kerana pekatnya otak Nakhoda dengan muntah hijau, maka anak-anak kapal ini dibuang daripada bahtera ke lautan dalam. Tajuddin, Ketua UMNO Alor Setar dan Zaharin Mat Yasin adalah mangsa terbaru kemabukan Presiden UMNO.


Di saat Kapal UMNO ini masih cuba dibaiki, Nakhoda lebih suka menunjukkan bahawa kapal ini masih berlubang-lubang dan bocor. Bagaimana kapal yang tidak sempurna ini akan diyakini rakyat? Sepatutnya Nakhoda yang bijak berkemampuan untuk mendamaikan anak-anak kapal yang berbeza buah fikiran. Kalau ini pun tak mampu sudah tentu Nakhoda orang yang penakut dan tak pandai.


Ketiga, Nakhoda UMNO ini juga sedang mabuk kuasa. Sepatutnya sebagai Nakhoda yang hari-hari membaca angin dan awan, dia lebih tahu apa yang terbaik untuk orang-orang awam. Dia tahu awan sedang mendung, angin semakin kencang dan kilat hendak mula menyabung tapi dia tetap mahu berjudi merisikokan masyarakat demi kuasa melalui pilihanraya. Nakhoda rasa selamat hanya kerana dia merasakan dia di dalam kapal yang takkan tenggelam ketika banjir. Di dalam bencana banjir, kapal sepatutnya digunakan untuk menyelamatkan dan bukannya untuk membuli rakyat dan membeli kuasa. Bukankah hari-hari yang lebih cerah masih ada? Sah Nakhoda ini sedang mabuk!


Paling parah adalah apabila Nakhoda ini disokong oleh juak-juak kapal yang setia buta kepada kemabukan. Barangkali kerana juak-juak ini tahu kalau Nakhoda ini dibuang mereka juga akan karam bersama. Nampaknya kapal UMNO yang sedang dikemudi elok-elok oleh anak-anak kapal yang lain bakal pecah belah dan kalau jong pecah sudah tentu yu yang kenyang. Sebaiknya anak kapal sekarang belajar daripada Kapten Jack Sparrow, kalau Nakhod dah mabuk, ikatkan sahaja dan campak ramai-ramai ke dalam laut. Tukar yang baru!

Comments

Popular posts from this blog

PKR - BERSATU BERBALAH EJEN MOSSAD, BN KEKAL EJEN RAKYAT

ELOK BN BOLEH MENANG BESAR, DISEBABKAN BUAT PRU WAKTU BANJIR TERUS DIHUKUM RAKYAT

ZAHID & TOK MAT PERLU LETAK JAWATAN