KJ DIHALAU DARI REMBAU BUKTI KEANGKUHAN KUASA TOK MAT
Percaturan politik Tok Mat cukup licik. Pada bila-bila masa
sahaja, beliau boleh berubah pendirian dan prinsip, asalkan kepentingan
peribadinya terjaga.
Selepas UMNO dimalukan pada tahun 2018, Tok Mat merupakan
figura yang terkehadapan dalam melaungkan slogan perubahan. Kononnya UMNO perlu
dijauhkan daripada warlords. Beliau sendiri menyatakan sokongan terhadap
pencalonan Khairy Jamaluddin untuk bertanding sebagai Presiden UMNO.
Waktu itu, duo tersebut mahu mengubah UMNO. KJ nombor satu,
Tok Mat nombor dua.
Akhirnya jawatan Presiden UMNO dihuni oleh Zahid Hamidi.
Namun dendam Tok Mat belum berakhir. Seperti yang didedahkan Tajuddin Rahman
sebelum ini, Tok Mat dan beberapa pemimpin kanan UMNO pernah membuat
perancangan untuk menggulingkan Zahid Hamidi namun gagal.
Pendek kata, Tok Mat pernah mengkritik Zahid, menyokong
lawan Zahid dan mencuba untuk melancarkan kudeta ke atas Zahid. Hari ini,
secara tiba-tiba Tok Mat bersahabat baik pula dengan Zahid Hamidi.
If you can’t beat them, join them.
Tok Mat sedar bahawa Zahid Hamidi mempunyai kuasa sebagai
Presiden parti untuk menandatangani watikah calon pilihan raya. Beliau perlu
mendampingi Zahid, walaupun hal ini mendesak Tok Mat untuk menikam anak buahnya
sendiri.
Dalam diam, serangan Tok Mat ke atas KJ sebenarnya sudah
bermula lama. Sewaktu Perhimpunan Agung UMNO Mac lalu, Tok Mat menggunakan medan
tersebut untuk mengkritik kesemua menteri UMNO termasuklah KJ yang dikatakan
‘berprestasi tidak memuaskan’.
Kemudian, Tok Mat yang selama ini membisu dalam isu nasional
secara tiba-tiba lantang mengkritik pemberian tender MySejahtera dan aspek
keselamatan data pengguna melibatkan aplikasi tersebut. Serangan kepada
MySejahtera ialah serangan kepada KJ.
Sehinggalah ke minggu ini, Tok Mat akhirnya mendedahkan
cita-cita politik beliau. KJ diminta mengosongkan kerusi Rembau untuk memberi
laluan kepada Tok Mat dan egonya yang besar.
Ya, Tok Mat yang selama ini dilabel jaguh kampung kini
mengidam untuk berkelana ke kota. Rembau hanya permulaan. Jangan terkejut, barangkali
sasaran sebenar beliau ialah Putrajaya.
PRU-14 yang lalu menyaksikan Tok Mat mengemudi Barisan
Nasional Negeri Sembilan ke lembah kekalahan. Setelah 14 tahun menetap di
kediaman rasmi Menteri Besar, beliau akhirnya diusir keluar. Untuk PRU yang
akan datang, Tok Mat sepatutnya merancang untuk kembali merampas rumah lamanya,
bukan mengidamkan rumah baru yang lebih besar. Itu bukan ‘level’ anda, Tok Mat.

Comments
Post a Comment