KEPADA PRESIDEN UMNO; REDAHLAH BANJIR SELAMATKAN RAKYAT DAHULU
Kenyataan dangkal Presiden UMNO mendesak PRU15 diadakan sekalipun ketika banjir amatlah memeranjatkan dan mendukacitakan.
Ramai rakyat masih trauma dengan impak bencana banjir besar yang melanda tahun lalu. Bukan sahaja harta benda yang masih belum sempurna malahan jiwa dan mental pasca bencana terutama bagi mereka yang kehilangan orang tersayang akibat banjir pun masih membekas.
Dengan taburan hujan yang 'lain macam' sejak akhir-akhir ini, bencana banjir yang diramal akan melanda hujung tahun ini memerlukan kesiapsiagaan jentera Kerajaan untuk menghadapinya. Bukannya jentera parti pula yang dikerah untuk berkempen sedangkan para pengundi gusar memikirkan impak banjir yang bakal melanda.
Antara prinsip Maqasid Syariah dalam tadbir urus adalah penekanan kepada keperluan memelihara nyawa dari bahaya dan memelihara harta benda dari kerosakan. Maka, mendedahkan rakyat kepada bencana dengan mengadakan PRU15 ketika bencana ternyata bercanggah dengan kewajipan mendahulukan Maqasid Syariah ini. Apakah ada bala' yang Presiden UMNO mahukan lagi menimpa negara ini??
Sepatutnya, apa yang boleh dilakukan Presiden UMNO adalah menggesa kesediaan Jentera Pemuda serta UMNO di setiap kawasan untuk mula berjaga-jaga bagi memberikan khidmat kesukarelawan Banjir supaya rakyat nampak dengan jelas dan nyata bahawa UMNO adalah parti yang jujur dan telus berbakti kepada rakyat!
Terfikir juga, kalaulah PRU15 ketika banjir, apakah UMNO boleh menang? Negeri-negeri deposit UMNO seperti Pahang, Perak, Johor mahupun Sabah dan Sarawak antara yang dijangka dilanda bencana banjir ini. Tentunya, pengundi UMNO akan terkesan. Dan, apa pula jadi pada cita-cita UMNO Selangor mahu menawan kembali jika pengundi di Selangor pun terkandas akibat banjir?
Belum lagi, jika netizens marah dan tidak puas hati. Kempen #KerajaanGagal akan lebih agresif, dan mungkin lebih banyak kempen maya seperti #TolakUMNO #TolakBN #UMNOSelfish #UMNOGagal akan timbul. Tidakkah ini boleh menggugat potensi UMNO di PRU15 ini??
Sewajarnya, berilah ruang kepada agensi Kerajaan di bawah teraju YAB PM untuk merencanakan bantuan banjir. Sementara, Jentera UMNO mesti digembleng terutama di kawasan hot spot banjir bagi menzahirkan komitmen UMNO kepada rakyat. UMNO bantu rakyat ketika bencana, rakyat senang dan tenang, barulah yakin YAB PM boleh membubarkan Parlimen untuk PRU15. Pasti rakyat akan mengundi UMNO BN!
Bencana benarlah ujian. Tapi dalam setiap ujian datang bersamanya hikmah. Jika hikmah ini pun tidak diinsafi Presiden UMNO, apakah mungkin bencana berulang kembali menimpa UMNO di PRU15 ini???
Nauzubillah!

Comments
Post a Comment