PARTI TAK PERNAH DESAK CAMPUR TANGAN KES MAHKAMAH - TOK MAT
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini menafikan dakwaan bahawa parti terlibat dalam campur tangan melibatkan kes mahkamah.

“Tiada siapa minta campur tangan, itu terpulanglah orang speculate, tidak mampu untuk saya menjawabnya… kena tanya dialah siapa yang buat itu.
“Peramal, ahli nujum banyak sekarang ini… tidak ada, parti tidak pernah mendesak untuk campur tangan tapi apa yang kita minta supaya diberikan penghakiman perbicaraan yang adil, itu biasa tidak mencemar atau hina sesiapa,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas mengadakan sesi libat urus bersama Bro Politik BN Bahagian-bahagian di Pejabat Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, di sini, hari ini.
Mohamad memberikan respon berkenaan ketika disoal media berkenaan dakwaan mengatakan bahawa pertemuan ketua-ketua UMNO bahagian yang diadakan semalam mempunyai hubung kait dengan kes mahkamah yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelas Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi, sekiranya parti mahu mencampuri kes tersebut ianya dilakukan ketika di peringkat Mahkamah Tinggi lagi.
“Hendak campur macam mana kerana sudah sampai Mahkamah Persekutuan, kalau hendak campur patutnya di peringkat Mahkamah Tinggi.
“Malah kita tidak campur biarpun di Mahkamah Tinggi lagi orang kata kalau UMNO jadi Perdana Menteri, memerintah bahawa UMNO akan melepaskan Najib tapi ini tidak berlaku, sedangkan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi masih meneruskan perbicaraan,” ujar beliau.
Beliau pada masa sama turut berharap rakyat tidak terpengaruh dengan spekulasi yang tidak benar membabitkan parti.
“Saya minta rakyat untuk tidak terlalu terpengaruh sangat dengan dakyah dan fitnah ‘oh, UMNO kalau menang nanti semua hendak campur tangan’.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dari UMNO/BN ada campur tangan? Tidak, kes yang melibatkan pemimpin UMNO tidak ada siapa terlibat,” tegas beliau lagi. – UMNO Online

Comments
Post a Comment